Pages

Kalaulah nilai duit itu lebih besar dari nilai kasih sayang…


Setiap manusia mempunyai rasa kasih dan sayang, kasih dan sayang adalah rahmat Ilahi dan kurniaan Ilahi. Kasih sayang kekadang semacam tiada batas dan kekadang mempunyai batas, ia mungkin bagi seorang yang bergelar hamba, namun bagi Pencipta, kasih sayang Allah tiada batasannya.

Allah memberi nikmat yang pelbagai kepada manusia tanpa bayaran, kita menghirup udara tanpa dikenakan bayaran per/jam atau per/hari, kita melihat tanpa batas dan juga tidak dikenakan apa apa bayaran, kita juga bebas ke mana mana melalui dan memijak tanah milik Pencipta tanpa bayaran. Itulah kasih sayang Allah dan banyak lagi yang kita pinjam daripada Allah, langsung tanpa bayaran. Itu bukti yang jelas bagi mereka yang mahu berfikir.

Manusia pula berbeza dengan sesama manusia, dari A-Z, jika tidak dikenakan bayaran, seolah olah tidak berbaloi. Tidak kira apa pangkat dan kedudukan mahupun pertalian darah, kekadang manusia mengambil kira nilai wang dari nilai kasih sayang. Di dunia, kita dikenakan bayaran untuk masuk ke tandas awam, bila kita meletak kenderaan kita di tempat awam, kita dikenakan bayaran juga, atau jika kita ke mana mana sahaja, kita pasti dikenakan bayaran tanpa had. Itu nilai bayaran bagi manusia. Menjadi manusia kepada manusia memerlukan bayaran. Bayaran adalah unsur harta manakala kasih sayang adalah bersifat rohani.

Ahli keluarga kekadang sanggup bergaduh kerana unsur harta, sanggup tidak bertegur sapa kerana harta tanah, atau sangup ungkit mengungkit kerana harta. Ini realiti, manusia sanggup melakukan apa saja bagi menuntut harta, namun sanggupkah manusia melakukan apa sahaja untuk mendapat kasih sayang?

Memang terjadi, ada segelintir manusia yang menuntut hak penjagaan anak, mungkin ini boleh diklasifikasikan sebagai unsur kasih sayang, sebab anak adalah anugerah Allah dan hasil dari kasih sayang. Walaupun begitu, ketika melafaz untuk bercerai atau bercadang untuk bercerai, pasangan ini mungkin tidak sedar yang anak itu lahir atas hasil kasih sayang ibu dan ayah.

Penulis berpendapat nilai kasih sayang adalah lebih mahal dari nilai harta, harta boleh melukakan hati kita, dengan harta kita boleh menguris perasaan seseorang, begitu jua kasih sayang, jika kita ringankan timbangan kasih atas harta, maka kita dapati akan ada perasaan kasih yang terguris. Ia tidak terkecuali atas apa apa hubungan, sama ada ayah dan anak, ibu dan anak atau kawan kawan sekerja.

Penulis tidak menafikan nilai harta bagi mewujudkan kasih sayang(benarkah harta yang mewujudkan kasih sayang?)…harta merupakan wasilah bagi memupuk rasa kasih, namun harta langsung tidak boleh membeli kasih sayang. Sebagai contoh, ibu memarahi anaknya kerana anaknya memecahkan pasu kesayangannya, ibu dengan suara tinggi memarahi seolah olah anak tadi membuat kesalahan besar dalam hidupnya. Dalam keadaan emosi, si ibu tadi sebenarnya terlalu emosi sampai melupakan kasih sayang yang lebih dahulu datang dari pasu kesayangannya tadi. Ini Cuma contoh ringkas, jika kita besarkan contoh subjek di atas, ianya mungkin lebih besar kesan kepada si anak, atau kepada masyarakat.

Marilah kita didik hati kita untuk meletakkan kasih sayang lebih tinggi dari wang dan harta. Mari kita tinggikan hati kita dengan nilai kasih sesama manusia berbanding kita tinggikan nilai harta kita dengan manusia. Mari kita didik hati kita untuk menempatkan rasa cinta kasih kita kepada Allah atas segala galanya kerana Allah tidak mengenakan apa apa bayaran untuk cinta kepada Nya….namun adakah manusia meletakkan bayaran untuk cinta?

Duit kita boleh cari…kasih sayang?

(adaptasi ulasan cerita adalah kisah benar)

1 ulasan:

aku mozu said...

waah.

sejak jd suami org ni... kasih syg je!!