Pages

Syaitan Peringkat Diploma, jika…

Assalamualaikum wbt….

Salam syawal, salam menyambut kemenangan kita, walaupun kekadang kita rasa adakah kita ‘menang’ sepertimana makna kemenangan syawal itu sendiri atau sebenarnya kita masih hamba yang sama selepas dan sebelum syawal…saya memperingati diri saya dan juga ikhwah muslimin dan muslimat sekalian…fikirlah, renungkan diri kita, sama ada kita layak mengecapi kemenangan itu , mudahan kita tergolong dari golongan tersebut.

Saya ingin berkongsi kepada pembaca dalam satu penghayatan diri yang kekadang kita tidak perasan, dan tidak sedar, kerana betapa halus dan liciknya permainan syaitan sehingga kita terpedaya, yakni sifat riya’ dan ujub dalam diri kita.

Semua manusia mempunyai sifat riya dan ujub. Dalam kita berbicara, dalam kita menilai sesuatu dan dalam kita mengutarakan pendapat, kekadang kita tidak sedar, di dalam perbualan dan kata bicara kita mempunyai unsur-unsur riya dan ujub. Contoh yang mudah apabila kita bersoal jawab mengenai puasa enam, kita tanpa ditanya akan menyatakan kita dah menghabiskan puasa enam, atau kita memberitahu kawan kawan kita bahawa kita tinggal 1 atau 2 hari lagi untuk menghabiskan puasa enam, tidakkah kita tahu puasa itu untuk Allah dan Allah sahaja yang membalasnya, amalan puasa itu diangkat terus ke langit Allah , dan hanya Allah yang tahu sama ada amal tadi bernilai atau tidak, ditujukan untuk Nya atau tidak.

Rasulullah saw. pernah bersabda, "Setiap amalan anak Adam untuknya satu kebaikan dibalas dengan 10 sampai 700 kebaikan." Kemudian, Allah swt. berfirman, "Kecuali puasa, karena dia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya." (H.R. Al-Bukhari dan Muslim).

Permainan syaitan kekadang memang licik, sesuai dengan tahap kita, kalau kita mempunyai diploma, perumpamaan syaitan yang mengganggu kita pun mempunyai diploma, masakan syaitan sekolah tadika akan mengganggu ulama yang berilmu? Begitulah ilmu dan darjat membezakan darjat golongan syaitan yang menganggu ibadah manusia. Maka, mari kita sama sama berhati hati dan jangan tertipu dengan apa yang dibisikkan syaitan kepada kita.

"Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap Nabi musuh (daripada) syaitan-syaitan manusia dan jin yang membisikkan sebahagian daripada mereka kepada sebahagian yang lain perkataan perkataan palsu yang indah. Jika Tuhan kamu menghendaki mereka tidak akan mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka mengada-adakan". – Surah 6: 112.

Mudah-mudahan Allah SWT menjauhi dan mengampuni dosa kita dan menerima amalan kita yang sedikit, biarlah keampunan senantiasa meniti di bibir bibir kita berbanding kita menyebut-nyebut amalan kita (yang sebenarnya kita niatkan hanya kepada Allah), contohilah para tabiin dan para sahabat yang berasa malu apabila kebaikan mereka diketahui sedangkan kita pula merasa bangga bila kebaikan amal kita disebut sebut…sesungguhnya sosok para sahabat dan tabiin dahulu adalah lebih dekat kepada syurga dan keredhaan Allah….

Wassalam..yang terbaik itu adalah mereka yang mengamalkan…bukannya menyampaikan atau mendengar…

0 ulasan: