Pages

Semudah itu? @ Mimpi KAYA?



Sudah lama tidak menulis, bukan kerana kekeringan idea, masa tidak mengizinkan selain ruang masa yang tidak memungkin penulisan itu berlaku.

Banyak perkara yang berlaku di sekeliling kita, yang mungkin mempunyai makna tersendiri atau mungkin tidak mempunyai makna yang besar bg kita, namun bagi sesetengah orang, sesuatu yang mempunyai makna yang besar bagi kita, mungkin di mata pihak lain adalah kecil dan tak bermakna.

Ada pihak yang melihat sesuatu itu tanpa ikatan peraturan, dan ada segolongan yang melihat peraturan itu sekadar memudahkan kerja pengurusan, manakala ada yang mengambil jalan tengah antara kedua-duanya. Bagi diriku, selagi mana kita mampu melakukan kerja tersebut, sama ada mempunyai jawatan atau tidak, kita tetap akan melakukannya, bukan kerana apa yang kita ada tetapi lebih kepada fikiran sejauh mana ‘tanggungjawab’ kita sebagai seorang pekerja, hamba atau da’i. Memang wajar kita meletakkan sesuatu kepada mereka yg amanah, tapi dalam beberapa perkara yang kita rasa kita mampu lakukan, mengapa kita tidak ringankan tangan untuk membantu menunaikan amanah tersebut, apalagi jika ia melibatkan sesuatu jemaah.

Ada segolongan manusia melihat mereka yang menegur mereka sebagai mereka yang ‘bermasalah’, dan ada pula yang melihat mereka yang ‘bermasalah’ ini sebagai masalah yang harus diselesaikan. Seorang insan tidak sesempurna apa yang kita dambakan, setiap jiwa mempunyai masalah, mempunyai unsur unsur atau elemen elemen yang tidak hakiki atau cacat. Ada di antara kita yang lebih suka membaca hukum hukum, lalu pandangan mereka akan senantiasa melihat sesuatu pekerjaan dengan pandangan haram, halal, boleh, harus, syubhat atau makruh. Bagi mereka yang memikirkan dan meminati elemen kesufian atau tarekat, mereka lebih suka menjustifikasikan sesuatu dengan pandangan kerohanian, melihat sesuatu dengan tatanan hidup seorang sufi, pembersihan hati dan jiwa. Jika ada yang ‘salah’ pada pandangan mereka, mereka akan menganggap ‘salah’ itu adalah salah dan tidak sesuai dengan jiwa mereka. Tidak hairanlah mereka menggunakan dalil dalil untuk menyatakan kebenaran mereka. Begitu juga dengan mereka yang terlalu memandang masa sebagai titik perubahan, mereka akan melihat kelewatan seseorang dalam hadir sesuatu program sebagai satu ‘kesalahan’ di mata mereka, tapi tidak bagi mereka yang lewat tersebut. Inilah dinamakan cara pandangan, kita memandang seseorang itu salah pada tempatnya, dan orang yang kita pandang ‘salah’ pada tempatnya memandang kita ‘salah’ pada susunan hidup kita. Jadi, apakah yang betul dan hakiki? Kalian jawab lah sendiri berdasarkan apa yang kalian faham, yang nyata yang hakiki jika kita kembalikan persoalan itu berbukukan AL Quran ttg apa saja yang kita rasa salah atau betul, kita carila di dalam buku tersebut.

PAGI SABTU DAN AHAD

Biasanya pagi Sabtu atau Ahad, jika kita tidak bekerja (selalunya Ahad memang tidak bekerja), kalau boleh dikatakan tidak bekerja-maknanya kita ‘memalaskan’ diri kita untuk ‘rehat-duduk di rumah-tidak bekerja’, maka ia bukanlah konsep pemikiran yang wajar digunapakai, melainkan kita melihat cuti sabtu dan ahad untuk menyiapkan amanah yang tertunggak setelah seharian memanaskan kerusi pejabat atau menghabiskan kerja kerja rutin pejabat. Jika difikirkan amanah, banyak amanah yang wajib kita tunaikan, selaku seorang Suami, Isteri, Anak, hamba atau da’i. Pilih lah kesesuaian di mana kita wajib dahulukan. Tetapi bebekalkan buku kita AL QURAN, jelas dan nyata apakah yang terbaik bg kita – “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar. (QS. At Taubah : 111)

Jika selalu di pagi Ahad, kita biasa membeli kuih atau nasi lemak buat kudapan di pagi hari, atau kita biasa membeli akhbar bagi santapan pagi sambil minum kopi, atau kebiasaan yang lain lainya yang kita buat khususnya sehinggan meletakkan kita sebagai pembeli dan bukannya penjual. Tidak semua manusia di takdirkan untuk menjadi penjual atau pembeli, namun jika di amati sejarah Nabi kita Muhammad SAW, beliau adalah seorang nabi yang mempunyai status sebagai seorang pedagang. Apakah istimewanya seorang Nabi seorang pedagang? (Anda cari jawapannya sendiri). Sekarang cuba kita letakkan diri kita sebagai penjual kuih. Kos membuat kuih mungkin sekitar RM 0.20- RM 0.25 seketul untuk kawasan di tempat saya, dan dijual dengan harga RM 0.30 kepada pembeli. Sekarang, anda penjual, anda lihat keuntungan anda dapat untuk seketul kuih adalah RM 0.05 (jika dinisbatkan kos RM 0.25). Dengan titik peluh membuat kuih, anda sebagai penjual kuih, anda layak berbangga kerana anda sudah mendapat keuntungan tersebut, dan yang lebih seronok, anda dapat lihat usaha anda tadi membuahkan hasil (dgn izin ALLAH). Bukan itu sahaja, anda juga berasa teruja bahawa anda adalah seorang ‘usahawan’ kecil yang berstatus juru jual…dan status pedagang, status yang ada pada Nabi junjugan kita. Seorang pedagang dengan hati yang mulia. Tidakkah anda berasa bangga kerana mengikuti jejak sunnah Rasulullah SAW? Tidakkah kemuliaan itu jika kita mengikuti baginda? Tidakkah kita nampak perniagaan itu adalah tinggalan dan sunnah yang wajar kita bangunkan dalam diri kita?

Sekarang, cuba kita letakkan diri kita sebagai pembeli (yang rasanya tidak payah diletakkan, selalunya kita memang berstatus pembeli), pembeli merupakan perasa, mereka akan komen di tempat yang sepatutnya, jika sedap..mereka akan mewar warkan betapa sedapnya kuih tersebut atau jika kurang sedap, mula lah kita menngungkit ungkit kuih yang kita beli (kecuali mereka yang berwaspada ttg menceritakan keburukan mencela makanan). Itu satu lumrah kehidupan seharian, sama ada kita sedar atau tidak, kadang kadang kita tergolong dari kalangan merekan. Moga Allah ampunkan dosa kita mencela makanan (khusunya jika kita merasai buah masam dll). Berbalik ttg status pembeli, adakah kita rasa ‘beruntung’ atau rasa apa yang dirasai oleh penjual? Memang tidak sama perasaan ‘membeli’ dengan mereka yang ‘menjual’. Mereka yang selalu membeli akan kehabisan di hujung bulan, manakala mereka yang selalu menjual, akan senantiasa senyum di hujung bulan. Mereka juga bebas untuk menginfaqkan harta tanpa halangan, memberi pinjaman tanpa kekangan untuk saudara seIslam, dan lebih penting mereka adalah saudagar yang mengikuti sunnah. Tidakkah kita lihat di mana para sahabat Rasulullah yang kaya bersedekah dan menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah, contoh yang paling dekat adalah isteri baginda sendiri, di mana dengan kekayaan nya sebagai saudagar memberi hartanya untuk kepentingan Islam. Alangkah baiknya jika kita dapat menjadikan Abdul Rahman B Aus RA, atau Uthman Al Khattab sbg tauladan, keperibadian mereka sebagai jutawan yang sanggup memberi harta mereka bagi kepentingan da’wah. Namun, jika kita hanya menjadi ‘pembeli sepenuh masa’, adakah kita akan tersenarai dalam lingkungan mereka yang mampu untuk berbuat kebaktian sebegitu?

MIMPI KAYA
Ada di antara kita menginginkan ‘kesenangan’ hidup dan mengimpikan apa yang orang kaya dapat. Kita mengkhayalkan seolah-olah kita mempunyai kedai besar, syarikat besar atau pasaraya besar, malah kita selalu menyebut hal hal demikian, dgn berkata, kalaulah aku memilikinya, kalaulah aku ada syarikat sendiri dan kata kata seumpamanya. Walaupun khayalan atau impian itu tidak salah, namun yang nyata kita salah menilai kesenangan mereka dengan menafikan kesukaran mereka untuk senang. Contoh mudah, kita lihat si kaya mungkin seorang yang senang lenang, berjaya menguasai pasaran, mempunyai sebuah pasaraya besar atau syarikat besar, itu pandangan kasar kita pada si kaya tadi. Pernah kah kita terfikir kesukaran si kaya tadi untuk mengecapi kesenangannya pada hari ini. Sekali lagi dikatakan, tidak salah kita untuk mengangan-angankan, namun adakah usaha kita hanya sekadar kata kata ataupun setakat angan angan sahaja tanpa mahu merasai perit payah perniagaan atau bergelar saudagar?

Mungkin ada yang ‘terpengaruh’ dengan jutawan Internet, malah ada sedikit yang kurang jujur (pendapat peribadi) ttg Jutawan Internet atau usahawan Internet. Dengan menyatakan mereka berjaya dengan mudah dan menjadi kaya. Kalau kita selidiki mereka ini, status ‘jutawan’ Internet mereka tidaklah semudah yang kita sangka, mereka mungkin tidak mempunyai pejabat, duduk di pejabat 8 jam seperti kebanyakkan orang, atau membanting tulang di tengah panas seperti kerja kerja pembinaan, atau menjadi ‘pengawas’ di dalam hiruk pikuk pembinaan bangunan dll. Namun, tidak pernah kah kita terfikir, jika dia jutawan Internet, tidakkan dia akan senantiasa mengawasi e-mail mereka, tidakkah mereka seharusnya membalas e-mail dari pembeli, tidakkah mereka harus menyediakan kadar harga atau diskaun lain lain untuk barang mereka? Atau jika dia penjual e-book, tidakkah mereka bekerja susah untuk menyiapkan e-book mereka?...Apa yang membezakan mereka dengan mereka yang bekerja di pejabat adalah soal minat. Mereka minat dalam kerja mereka sehinggakan kesukaran mereka tidak terasa, sedangkan bagi yang bekerja pejabat, mereka lebih statik, namun tidak lah boleh di katakan usahawan Internet mencapai jalan kaya dengan hanya ‘duduk’ goyang kaki. Inilah yang ditegaskan di dalam Al Quran : Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan” [Alam Nasyrah 94: 5-6]

Mereka berusaha untuk ke tahap sebegitu bukan sekadar angan-angan seperti yang di bayangkan sahaja. Mereka berusaha mengejar bayang-bayang angan dan mimpi tersebut. Adakah kita seperti mereka? Mustahil, kekayaan yang dimiliki Khadijah RA tidak mempunyai perancangan dan khayalan sebegitu (suatu sifat memikirkan apa selepas ini- perancangan dan matlamat).
Marilah pemuda-pemuda Islam, kita ceburi bidang perniagaan, mulakan dengan sedikit, bak kata Aa Gym, mulakan dengan yang kecil , mulakan dengan diri sendiri, dan mulakan ia hari ini.
Kenapa kita tidak boleh menjadi orang kaya yang bertaqwa?...sedangkan dengan kekayaan, kita dapat membantu dengan penuh komitmen bagi memenuhi keperluan mereka yang tidak mampu. Tidakkah sabda baginda, tangan di atas lebih baik dari tangan di bawah?
Mudahan tulisan yang sedikit ini memiliki manfaatnya tersendiri.

Tarikh ditulis : 18 Julai 2010
Masa: 7.30 malam …berhenti-henti sekejap…dan bersambung pada 9.30 malam sehinggan 10.30 malam

1 ulasan:

aku mozu said...

baru nk post? mls nk komen...